BY: SITI HAJAR BINTI KAMARUDIN
Antara salah satu sebab manusia dilahirkan di dunia
ini ialah bertaqwa kepada Allah dan dalam ingin menunaikan tanggungjawab itu,
adalah satu kewajipan kita sebagai manusia untuk menuntut ilmu yang diperlukan.
Contoh yang boleh diketengahkan ialah aktiviti jual beli dalam kehidupan
seharian kita. Kita haruslah berusaha menuntut ilmu
perniagaan yang termaktub dalam Al-Quran agar kita dapat membezakan antara
unsur jual beli yang diperbolehkan atau yang dilarang. Kalau tidak, nescaya kita
akan terjerumus dalam perkara yang haram tanpa kita sedari. Seperti yang
dihuraikan Umar r.a.,
“Tidaklah berjual-beli, selain orang yang
berpengetahuan ilmu fiqah. Kalau tidak, dia akan memakan riba. Dengan
kemahuannya atau tidak dengan kemahuannnya.”
Konklusinya, wajiblah kita melengkapkan diri dengan
ilmu pengetahuan sebelum kita memulakan sesuatu usaha. Elakkan diri daripada
terlibat dalam perkara perkara yang dilarang oleh agama Islam kerana
sesungguhnya Allah Maha Melihat.
Definisi.
Tanpa melengahkan masa, topik yang akan dibincangkan
hari ini ialah pelaburan. Untuk pengetahuan semua, pelaburan juga adalah
sebahagian daripada perniagaan yang dibenarkan dalam Islam. Pelaburan
(Al-Qiradh) ialah tindakan meletakkan dana bagi satu tempoh yang ditetapkan
dengan mengharapkan pulangan pada masa akan datang iaitu memperoleh hasil daripadanya
dan ia adalah salah satu kaedah mengembangkan harta. Namun, perlulah kita
ingat, hasil pelaburan itu tidak semestinya positif kerana risiko pelaburan
adalah tinggi. Oleh itu, kita perlulah mendalami ilmu pelaburan sebelum melabur
dalam sesuatu perkara. Antara dua kontrak syariah yang popular dan berkaitan
dengan pelaburan ialah Musyarakah dan Mudharabah.
Ciri-ciri
pelaburan dalam Islam
a) Aktiviti pelaburan yang dilakukan mestilah halal dan
dibenarkan oleh syariah
b) Modal pelaburan haruslah disediakan oleh salah seorang
atau kedua-dua orang dalam sesebuah perkongsian berdasarkan bentuk kontrak yang
telah disediakan.
c) Modal haruslah dalam bentuk wang dan sekiranya aset
diterima sebagai modal perniagaan, maka ia adalah satu kemestian untuk kita
beri nilaian kepada aset itu berdasarkan nilai semasa dan tertakluk kepada
penurun nilai.
d) Keuntungan perlulah dalam bentuk peratus atau
bahagian. Sebagai contoh, pembahagian keuntungan 50:50 atau 60% untuk pelabur
dan 40% untuk peniaga atau mana- mana nisbah yang dipersetujui oleh kedua dua
pihak. Adalah menjadi satu kesalahan jika pemilik modal menetapkan keuntungan
dalam jumlah tertentu. Contohnya, “Keuntungan untuk kamu adalah RM 150 dan
selebihnya adalah untuk aku. “
e) Jika berlaku kerugian, maka ia mestilah ditanggung
oleh kedua-dua pihak yang berkongsi kerana Islam tidak membenarkan satu pihak
menindas satu pihak yang lain.
f) Setiap pihak mempunyai hak dan tanggjungjawab yang
perlu diperjelaskan dalam perjanjian untuk mengelak berlakunya perselisihan
faham.
g) Setiap pihak boleh membatalkan kontrak perkongsian,
tetapi boleh disyaratkan cara pembatalan itu dan sekiranya ini telah dimasukkan
dalam perjanjian, ia telah mengikat kedua-dua pihak.
Sebagai akhir kata, jika kita hendak melabur dalam
sesuatu perkara, kita perlu mematuhi rukun-rukun pelaburan yang dibenarkan
dalam agama Islam. Kita juga haruslah mengelakkan diri daripada melabur dalam
aktiviti pelaburan yang haram kerana hasil pelaburan itu juga akan menjadi
haram.
0 comments:
Post a Comment