BY: SAHAL BIN AMER HAMZAH
Keuntungan amatlah
dikenali dalam semua kelompok masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Hal ini
juga telah menjadi satu perkara yang tidak asing lagi dan sudah sebati dalam
kehidupan seharian manusia. Namun begitu, konsep keuntungan berbeza dan wujud
variasi tentangnya antara kaum, agama, masyarakat, malahan yang dipersetujui
oleh sejumlah besar orang ramai disebut sebagai pakatan umum atau konvensional.
Secara definisi dari segi
bahasa, keuntungan bermaksud tambahan atau lebihan ke atas sesuatu. Umumnya,
keuntungan dari segi istilah ialah tambahan ke atas modal yang diperolehi dalam
sesuatu perniagaan. Dalam Kamus Dewan, definisi keuntungan bermaksud hasil
pendapatan daripada sesuatu kegiatan perusahaan, perniagaan, dan lain-lain yang
melebihi modal dan segala perbelanjaan yang melebihi kegiatan. Dari segi Islam,
asas konsep keuntungan tidaklah begitu berbeza daripada yang disebutkan sebelum
ini. Salah satu definisi Islam terhadap konsep keuntungan yang bersumberkan
At-Tabari ialah seorang peniaga akan beroleh keuntungan sekiranya dia melakukan
aktiviti pertukaran komoditi yang dimilikinya dengan komoditi yang berharga.
Jika sebaliknya, perniagaan tersebut akan mengalami kerugian. Kesimpulannya,
keuntungan akan diperolehi apabila suatu barang dijual dengan harga yang lebih
tinggi daripada kos belian atau pengeluaran.
Seterusnya, keuntungan
amat berkait rapat dengan sesuatu kegiatan perniagaan dan ekonomi. Ekonomi
dunia telah mempersetujui beberapa istilah berkaitan konsep keuntungan
antaranya ialah, baki yang diperolehi oleh pengeluar setelah ia menyelesaikan
segala kos perbelanjaan bagi perrniagaanya. Menurut istilah ekonomi Islam pula,
keuntungan maknanya pertambahan hasil jual beli atau hasil yang berlainan bagi
setiap kerja yang dilakukan. Secara keseluruhan, definisi konsep keuntungan
dari segi Islam lebih kurang sama dengan definisi yang lain. Namun begitu,
seperti yang dikatakan, konsep keuntungan adalah berbeza. Islam amat menitik
beratkan keuntungan yang berdasarkan syariat disertakan kesepakatan dan
persetujuan para ulama’. Konsep keuntungan Islam berbeza dari pelbagai aspek
jika dibandingkan dengan konsep keuntungan yang dipakai oleh kebanyakan
masyarakat dunia iaitu konvensional.
Antara perkara yang
berbeza ialah kadar keuntungan. Kadar keuntungan konvensional berupaya untuk
meletakkan keuntungan ditahap maksimum. Pengguna perlu membayar atau memberi
balasan yang tinggi akibat daripada harga sesuatu barangan atau perkhidmatan
yang diletakkan pada kadar yang tinggi untuk mendapat keuntungan. Sekiranya ini
terjadi, ianya akan membebankan dan menyusahkan pengguna sekaligus mampu untuk
menindas mereka. Sementara itu, kadar keuntungan Islam tiada had tertentu.
Dalam agama islam, tiada satu dalil atau hadis yang benar-benar menyatakan
dengan jelas tentang kadar keuntungan yang harus diletak. Oleh yang demikian,
syarat keuntungan Islam telah dikaji berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah yang
dipersetujui oleh para ilmuwan Islam dan ulama’ membawa kepada suatu hasil yang
menyatakan kadar keuntungan ditentukan oleh pasaran bebas. Dari Abu Hurairah
R.A. katanya: Ada seorang datang kepada Rasulullah S.A.W. dan berkata, “ Wahai
Rasulullah, tetapkanlah harga pasaran ” . Jawab baginda S.A.W. , “ Bahkan
biarlah Allah yang menentukan ” . Kemudian datang lagi seorang lelaki berkata,
“ Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga
pasaran untuk kami ” . Jawab Rasulullah S.A.W. , “ Bahkan biarkanlah Allah yang
menaikkan dan menurunkan, dan sesungguhnya aku mengharapkan bertemu dengan
Tuhanku pada hari akhirat dengan keadaan tiada seorang pun dikalangan kamu yang
boleh menuntut kepadaku atas sebab melakukan kezaliman! “ – Riwayat Abu Daud
dan Bayhaqi. Tampak disini bahawa kadar keuntungan tidak ditetapkan dan bebas
mengikut pasaran selagi tidak berlaku kezaliman dan meletakkan harga yang tidak
sepatutnya.
Selain itu, sekiranya
kadar keuntungan tidak mempunyai nilai tambah, maka berlaku beberapa penetapan.
Contohnya, mazhab Maliki dan Syafi’e menyatakan bahawa kadar keuntungan tidak lebih
dari 1/3 atau 34% harga. Menurut Imam Nasir bin Yahya al-Balkhi, kadar
keuntungan terbahagi kepada 3 jenis iaitu hartanah (jangan melebihi 20%),
ternakan (jangan melebihi 10%), dan barangan (jangan melebihi 5%). Disamping
itu, mazhab Hanafi dan Hanbali berpandangan; kadar beza harga yang dibenarkan
itu tidaklah tetap pada peratus tertentu. Ia berubah-ubah mengikut uruf’
(kebiasaan) di kalangan para peniaga dalam penilaian mereka. Pandangan inilah
yang rajih (lebih kuat) kerana tidak ada nas Syarak yang membataskan kadar
harga maksima yang boleh diletakkan, oleh demikian penentuannya kembali kepada
‘uruf manusia. Seharusnya, jika seseorang itu ingin mendapat keuntungan,
ikutlah pendapat-pendapat yang bernas selagi tidak betentangan dengan Syarak
dan tidak menzalimi orang lain. Selain daripada itu, suatu persoalan timbul
dimana, adakah dibenarkan keuntungan melebihi 100% dalam Islam? Jawapannya
adalah dibenarkan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan Bukhari (3641) dari
Abu Daud dalam Sunannya (3384) dari Urwah R.A. yang menceritakan tentang dinar
dan kambing.
Tambahan lagi, konsep
keuntungan Islam mestilah bebas daripada spekulasi atau monopoli yang di sebut
dalam hadis riwayat Muslim, “ Tidaklah menimbun (monopoli) kecuali orang yang
berbuat dosa “ . Akhir kata, kadar keuntungan islam tidaklah ditetapkan tetapi
perlu mmerujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah serta pandangan para ulama’.
Apa-apa pun, Islam amat menggalakkan umatnya untuk menegakkan nilai-nilai murni
dalam menetapkan kadar keuntungan. supaya semua pihak mendapat manfaat dan
tidak berlaku penindasan atau penzaliman. Oleh yang demikian carta aliran
dibawah menggariskan beberapa nilai penting dalam penetapan kadar keuntungan:
0 comments:
Post a Comment